26.4 C
Kuala Lumpur
May 24, 2026
Cryptocurrency

Cerita On-Chain Bitcoin Minggu 19

Penafian: Ini bukan nasihat pelaburan. Artikel ini ditulis berdasarkan laporan mingguan oleh Glassnode. Semua data disediakan hanya untuk tujuan maklumat dan pendidikan. Tiada keputusan pelaburan boleh dibuat berdasarkan maklumat yang diberikan di sini. Sebarang keputusan pelaburan adalah tanggungjawab anda sendiri.

Minggu 19 ( 4-10 Mei 2026)

Pasaran Bitcoin tengah cuba bangkit semula, tapi langkahnya masih nampak ragu-ragu. Spot demand dan inflows ETF dah mula hidup balik, Coinbase pun tunjuk pembelian agresif, malah trader Hyperliquid makin berat ke arah long. Tapi rally kali ni belum cukup “conviction” macam bull run dulu yang mana modal besar kaw-kaw masuk. Harga pun masih tersekat dalam zon supply $82K–$87K.

Senang cerita, market tengah “warm up” balik. Walaupun asasnya nampak kukuh, tapi belum cukup tenaga nak tolak harga lebih kuat. Kalau inflows terus kekal dan spot demand makin padu, barulah rally ni boleh jadi lebih gempak.

Jom tengok apa yang jadi kat on-chain sepanjang minggu 19.

Kita tengok kejap perkembangan terkini tentang makro ekonomi terutamanya selepas dua data yang panas dah pun diumumkan dalam 2 minggu ni. Pertamanya, data pasaran pekerjaan terbaru (April 2026) menunjukkan kadar pengangguran kekal pada 4.3% dengan penambahan 115,000 pekerjaan nonfarm payrolls (melebihi jangkaan 62,000 pekerjaan). Walaupun pertumbuhan pekerjaan adalah sederhana, tapi masih dikira kukuh dengan upah sejam bekerja meningkat $0.06. Keduanya ialah data inflasi. CPI (inflasi pengguna) untuk April 2026 naik 0.6% bulan-ke-bulan dan juga naik 3.8% tahun-ke-tahun. Manakala PPI (inflasi pengeluar) melonjak 1.4% bulan-ke-bulan dan 6.0% tahun-ke-tahun. So dua data inflasi ni merah menyala, lebih tinggi dari jangkaan.

Data inflasi panas, tapi dalam masa yang sama data pekerjaan nampaknya masih ok. So rate cut macam mana? Ramai yang jangka yang rate cut tak akan berlaku dalam masa terdekat sebab nampak  FED macam takde alasan yang kuat nak longgarkan dasar kewangan dalam masa terdekat ni. Ini menyebabkan Treasury Yields kekal tinggi dan keadaan kewangan masih ketat.

LIQUIDITY. Satu perkataan yang Cikgu Mayee selalu sebut. Kalau sebelum ni, bila sentuh pasal liquidity ni, komuniti kripto selalu bincang pasal liquidity dalam on-chain (contohnya, liquidity pool kat DEX), liquidity dalam CEX/DEX, liquidity kat coin circulation. Tapi sekarang, kita kena belajar tengok LIQUIDITY dari konteks yang lebih besar dan global.

Liquidity kekal menjadi pemacu utama bagi risk assets. Kalau liquidity masih pekat, likat, melekat..risk assets payah nak gerak. Walaupun pasaran ekuiti nampaknya terus mendaki tapi kat bawah permukaan, suasananya goyah. Macam air laut, nampak tenang kat atas tapi ombak kat dasar laut tu, takde siapa nampak. Harga minyak dunia dan keadaan geopolitik yang masih tegang menyumbang kepada jangkaan kenaikan inflasi. Kalau orang ada duit pun, duit tu cukup-cukup untuk kelangsungan hidup. Takde duit lebihan nak saving, nak invest.

Untuk aset digital, overall kita boleh nampak yang pasaran masih positif tapi lebih selektif. Walaupun liquidity ketat, ditambah dengan USD yang makin mengukuh, Bitcoin dilihat masih ada daya tahan yang kuat. Tapi inflow ETF dah nampak soft dan Treasury Yields pula makin tinggi. Jadi untuk BTC terus naik mendaki, apa yang diperlukan ialah keadaan kewangan yang lebih longgar atau catalyst baru.  

Dalam suasana makro yang masih tegang, Bitcoin tetap menunjukkan daya tahan yang tinggi. Ini menandakan permintaan asas masih ada walaupun risiko pasaran belum reda sepenuhnya. Kali ni metrik yang kita nak tengok ialah Relative Unrealized Loss.

Relative Unrealized Loss (RUL): Ukuran jumlah kerugian belum direalisasikan, yang dipegang oleh semua pelabur berbanding total market cap.

RUL ni macam floating loss. Cuma floating loss ni lebih spesifik kita guna untuk pelabur individu. RUL ni pula floating loss versi keseluruhan pasaran.

Bila RUL tinggi → ramai pelabur tengah duduk atas kerugian besar. Sentimen pasaran biasanya fear atau capitulation.

Bila RUL rendah → kebanyakan pelabur dah dekat dengan harga kos atau untung. Sentimen pasaran lebih optimistik atau sekurang-kurangnya neutral.

Bulan Februari 2026, RUL cecah 25%. Itu tanda ramai pelabur tengah “sakit” sebab harga jatuh bawah kos beli. Selepas harga pulih ke $80k, RUL turun ke 8%. Jadi pasaran dah berganjak dari fear ke uncertainty. Uncertainty kat sini maksudnya kerugian pelabur dah makin kecil tapi diorg masih belum yakin market akan buat bull run. Eh, macam pening pulak, kan. Patutnya RUL dah turun, dah bagus la, kan.

Cara senang nak faham Relative Unrealized Loss ni, dia ada 3 level.

  • Fear – Bila ramai pelabur tengah rugi gila-gila
  • Uncertainty – Bila kerugian dah mengecil, tapi pelabur tak yakin market akan bullish
  • Optimism – Bila majority pelabur dah untung, keyakinan memuncak, pasaran jadi euphoric

Jadi berdasarkan keadaan pasaran dalam minggu 19 ni, kalau paras $60k jadi lantai harga untuk cycle kali ni, maksudnya inilah kejatuhan harga paling kecil yang dicatatkan dalam sejarah Bitcoin. Biasanya dalam bear market yang lepas, Bitcoin selamba je menyelam 70-80% dari harga peak. Pasaran memang ada rasa takut (fear) bila harga jatuh, tapi tidak sampai tahap capitulation. Tapi ni cerita KALAU. So korang rasa macam mana? Boleh tembus tak lantai $60k tu?

Dengan sentimen pasaran yang dah berganjak daripada fear (takut) ke uncertainty (ragu-ragu), persoalan utama ialah sama ada rally sekarang sekadar rally kecil dalam bear market atau permulaan kepada bull market sebenar. Untuk menilai kebarangkalian ni, jom tengok aliran modal bersih (net capital flow) yang diukur melalui Realized Cap 30-Day Net Position Change.

Realized Cap 30-Day Net Position Change : Metrik yang track perubahan bulanan jumlah modal yang tersimpan di on-chain.

Masa harga rally hingga $82k baru ni, bacaan metrik ni cecah $2.8 bilion sebulan. Satu bacaan yang boleh dianggap positif untuk menggambarkan momentum yang konstruktif. Tapi kalau dibandingkan dengan bull market 2023–2025, setiap rally besar masa tu bermula dengan inflow modal yang melonjak dari sekitar $2B → $10 bilion sebulan.

Kita boleh kata yang walaupun ada aliran modal masuk $2.8 bilion, ia masih belum cukup kuat untuk disamakan dengan permulaan bull market besar. Rally ni memang nampak macam ada tenaga, tapi modal yang masuk belum cukup besar untuk confirm bull run. Pasaran masih dalam fasa “uji keyakinan”.

Walaupun harga BTC dah pulih 37% dari $60K ke $82K, aliran modal masih sederhana. Untuk faham kat mana paras support dan resistance, kita tengok metrik yang dipanggil sebagai Realized Price by Age.

Realized Price by Age :  Kos purata pembelian aset mengikut tempoh pegangan

Immediate Support: Kos asas pelabur yang beli dalam 30 hari terakhir adalah sekitar $76.9k. Ini jadi lantai sokongan jangka pendek sebab kalau harga turun, mereka masih boleh bertahan.

Immediate Resistance: Kos asas pelabur yang beli masa fasa konsolidasi Nov–Feb adalah sekitar $86.9k. Bila harga naik dekat paras ni, mereka hampir breakeven dan diorang akan ambil peluang lepaskan pegangan untuk ambil balik modal.  Jadi paras ni jadi zon rintangan dalam masa terdekat.

Melalui lensa kos asas, rally sekarang ada lantai kukuh di $76.9k tapi terpaksa berdepan siling besar di $86.9k. Kalau siling tu berjaya dirobohkan, barulah rally boleh dianggap lebih meyakinkan.

Macam biasa kita mesti tengok demand dari ETF sebab ETF Spot ialah salah satu sumber likuiditi terbesar yang boleh menggerakkan harga BTC. Selepas tempoh outflows yang panjang, ETF Spot Bitcoin tunjukkan tanda-tanda permintaan kembali meningkat. Ini bermaksud institusi mula beli balik, tekanan jual dari ETF semakin reda, keyakinan mula pulih perlahan-lahan.

Walaupun inflows dah kembali ia belum setinggi inflows besar macam rally 2024–2025. Institusi masih berhati-hati. Ini lebih kepada permintaan yang pulih, bukan permintaan yang agresif, Rally sekarang ada “nyawa”, tapi belum cukup kuat untuk dianggap permulaan bull run besar.

Kalau inflows ETF kekal positif, ia akan jadi structural tailwind yang menyokong kekuatan pasaran spot. Ia membantu harga bergerak lebih tinggi secara stabil. Tapi kalau inflows berhenti atau bertukar negatif semula, kita akan tengok rally tu patah.

Kenapa Coinbase? Sebab Coinbase adalah exchange spot Bitcoin paling besar kat Amerika dari segi volume, reputasi institusi dan peranan sebagai “gateway” pelabur Amerika. Lagi satu, jangan lupa yang banyak order institusi & ETF routing melalui sini.

Dalam dua minggu terakhir, Coinbase Spot Volume Delta berubah menjadi sangat positif, menunjukkan aktiviti pembelian agresif kembali meningkat ketika Bitcoin naik semula ke paras low-$80K.

Volume Delta = beza antara market buy vs market sell. Bila positif, maksudnya lebih banyak orang beli secara agresif.

Jadi bila Coinbase Spot Delta naik maksudnya institusi mula masuk balik. Pembelian berlaku berulang kali, bukan satu candle pump. Ini tanda permintaan sebenar, bukan short squeeze. Overhead supply mula diserap oleh demand spot. Ini penting sebab rally yang sihat biasanya spot-driven, bukan leverage-driven.

Kenapa kena tengok positioning kat Hyperliquid? Sebabnya ialah Hyperliquid ialah venue perpetual futures yang popular di kalangan active trader, high-frequency traders dan crypto-native speculators. Jadi perubahan positioning kat Hyperliquid beri gambaran jelas sentimen spekulatif. (Peringatan: Future trading adalah haram di sisi agama Islam).

Net Positioning di Hyperliquid semakin berat ke arah long sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selari dengan pemulihan harga Bitcoin ke paras low-$80k. Sepanjang Q1 2026 memang positiong bias ke arah short terutamanya masa harga jatuh ke low-$60k.

Peningkatan long position ni berlaku secara perlahan dan stabil, tiada crowded long spike. Maknanya trader tak FOMO dan diorang percaya rally ini ada asas. Sekarang ni net positioning berada hampir pada tahap long bias paling kuat sejak akhir 2025.  Namun, apabila long position semakin sesak, pasaran juga menjadi lebih sensitif kepada volatiliti jangka pendek dan risiko liquidation-driven pullbacks.

Setakat Minggu ke-19, harga Bitcoin nampaknya semakin recover dengan sokongan daripada permintaan spot, inflows ETF yang kembali positif dan positioning spekulatif yang bertambah baik. Namun, rally kali ini masih berbeza daripada fasa bull 2023–2025 di mana aliran modal belum cukup besar dan pasaran lebih kepada membina keyakinan perlahan daripada masuk ke fasa euphoric.

Untuk tembus dan kekal di atas zon supply $82k – $87k yang padat, pasaran perlukan spot participation lebih kuat dan capital rotation lebih besar. Buat masa ini, walaupun struktur pasaran bertambah baik tapi conviction masih dalam proses “rebuild”.

Related posts

FED Minutes 30 Dis 2025 Penentu Arah 2026

Nazrich

Masa Altseason Nak Meletup Dah Dekat!

Nazrich

Kenapa Market Jatuh Walaupun Banyak Berita Baik

Nazrich
error: Content is protected !!