Bila bercerita pasal blockchain, semua orang akan terfikir tentang cryptocurrency. Sebenarnya penggunaan blockchain ni tak terhad kepada cryptocurrency. Cuma ianya lebih dikenali dalam dunia kripto dan kewangan disebabkan oleh Bitcoin (dan kelahiran Altcoins) yang digilai ramai sehingga mencetuskan fenomena ketika bullrun pada tahun 2021. Sekarang jerung-jerung dari pasaran Wall Street dan institusi kewangan yang dulu mencaci pasaran kripto, dah mula tunjuk minat secara terbuka sehingga terhasilnya Bitcoin Spot ETF pada Januari lalu.
Konsep seakan blockchain ni diperkenalkan pada tahun 1982 oleh seorang computer scientist yang juga cryptographer, David Chaum dalam dissertation (tesis di peringkat doctorate) bertajuk “Computer Systems Established, Maintained and Trusted by Mutually Suspicious Groups”. Chaum membawa idea tentang konsep mata wang token yang boleh berpindah tangan dari satu individu ke individu lain secara private. Tahun 1990, beliau mengasaskan sebuah syarikat, DigiCash dan memperkenalkan mata wang elektronik berasaskan teknik kriptografi yang pertama iaitu eCash. Namun begitu, DigiCash telah berkubur pada tahun 1998.
Pada tahun 1991, Stuart Haber dan W. Scott Storetta telah memberi gambaran lebih jelas tentang blockchain apabila mereka mencipta perlindungan pada rantaian blok-blok secara kriptografi beserta timestamp (cap waktu). Pada tahun 1992, mereka menaik taraf sistem dengan melakukan penstrukturan data menggunakan Merkle Trees untuk meningkatkan kecekapan dengan membolehkan lebih banyak data disimpan dalam satu blok.
Boleh dikatakan revolusi Blockchain bermula pada 31 Oktober 2008 oleh Satoshi Nakamoto apabila white paper bertajuk “Bitcoin: A Peer-to-Peer Electronic Cash System” diterbitkan. Pada 9 Januari 2009, block pertama (genesis block) telah dilombong. Kalau sesiapa yang dah pernah baca white paper Bitcoin, Satoshi Nakamoto ada terangkan secara detail macam mana blockchain ni boleh jadi tulang belakang dalam penghasilan Bitcoin yang ada sifat decentralized, yang selamat untuk kita guna secara online dan telus dalam proses transaksi.
Asbab kewujudan Bitcoin, Blockchain menjadi satu teknologi yang sentiasa berkembang dan mengalami perubahan dari satu fasa ke satu fasa yang lain. Banyak penambahbaikan telah dilakukan sehingga kita boleh lihat apa kemaskini yang berlaku dalam setiap fasa daripada Blockchain 1.0 ke Blockchain 4.0.
Jom kita ambil tahu tentang evolusi Blockchain.

BLOCKCHAIN 1.0 : Permulaan Era Blockchain Moden
Blockchain 1.0 menekankan konsep decentralization dan mata wang digital. Evolusi pertama blockchain ini adalah kesinambungan daripada pembangunan eCash. Blockchain 1.0 banyak memfokuskan idea tentang decentralization secara total terutamanya rekod transaksi atas talian yang bersifat distributed & immutable. Objektif Blockchain 1.0 adalah untuk semua orang dapat mengakses sistem kewangan yang telus.
Bitcoin adalah pencetus perkembangan Blockchain 1.0 apabila banyak developer mula bereksperimentasi dengan blockchain (juga dikenali sebagai Distributed Ledger Technology) untuk diadaptasi ke dunia kewangan. Walaupun pembangunan Blockchain 1.0 pada mulanya tertumpu hanya pada penciptaan cryptocurrency bagi tujuan pembayaran, lama-kelamaan teknologi blockchain juga dilihat berpotensi “mengganggu” dan mencabar status quo industri lain.
Contoh projek yang tergolong dalam kategori Blockchain 1.0 adalah Bitcoin, Litecoin, Monero dan Dogecoin.

BLOCKCHAIN 2.0 : Kemunculan Smart Contract dan DApps
Blokchain 2.0 mengetengahkan konsep decentralization dalam pengoperasian melalui smart contract. Maka lahirlah Ethereum pada tahun 2014 oleh Vitalik Buterin. Beliau merasakan teknologi blockchain boleh dimanfaatkan dalam aplikasi lain dan tidak terhad kepada penghasilan mata wang kripto sahaja. Smart Contract adalah kod komputer yang membolehkan proses transaksi dilakukan secara automatik (tanpa pantauan pihak ketiga) apabila syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan dapat dipenuhi.
Sejak itu kita dapat lihat penggunaan teknologi blockchain dah mula meluas kerana smart contract membenarkan pengguna dan perniagaan melakukan transaksi yang lebih kompleks. Ethereum juga membolehkan pelbagai Decentralized Apps (DApps) dibangunkan. Dalam industri kripto, Blockchain 2.0 telah mencetuskan inovasi yang melahirkan Decentralized Finance (DeFi), Decentralized Autonomous Organizations (DAOs), Initial Coin Offerings (ICOs) dan Non-Fungible Tokens (NFTs).
Contoh projek yang tergolong dalam kategori Blockchain 2.0 adalah Ethereum, Lisk, Neo, Uniswap, MakerDAO. Selain itu, browser extension seperti MetaMask muncul ketika era Blockchain 2.0.

BLOCKCHAIN 3.0 : Scalability, Interoperability dan Sustainability
Penambahbaikan yang berlaku dalam Blockchain 3.0 telah membuka spektrum yang lebih luas untuk industri selain kewangan untuk menggunapakai teknologi blockchain. Blockchain 3.0 memberi penekanan tentang kelestarian (sustainability), kebolehskalaan (scalability), keberkesanan kos (cost-effectiveness), ciri yang lebih decentralize dan sistem sekuriti yang lebih baik. Selain itu, Blockchain 3.0 membenarkan interoperability iaitu interaksi antara satu blockchain dengan blockchain yang lain.
Blockchain 3.0 amat berpotensi digunakan dalam aplikasi seperti pengurusan supply chain, decentralize finance (DeFi), pengurusan identiti, gaming, platform sosial media dan sistem pengundian.
Antara penambaikan yang berlaku dalam Blockchain 3.0 adalah seperti berikut:
Penyelesaian Isu Kebolehskalaan
Blokchain 3.0 mampu mengendalikan lebih banyak transaksi sesaat tanpa menjejaskan sekuriti atau sifat desentralisasi sesebuah blockchain itu sendiri. Jadi macam mana Blockchain 3.0 nak settle isu scalability ni. Selalu dengar tentang Solusi Layer 2? Pernah dengar pasal Lightning Network? Pernah dengar Sharding? Ini antara contoh penyelesaian yang Blockchain 3.0 buat.
Meningkatkan Prestasi Interoperability
Interoperability ni maksudnya blockchain boleh “bercakap” sesama sendiri dan berkongsi informasi dengan lancar. Tujuan Blockchain 3.0 adalah supaya satu ekosistem dapat dibina tanpa perlu “orang tengah”. Contoh komunikasi sesama blockchain adalah cross-chain protokol seperti Polkadot yang membolehkan satu blockchain berhubung dengan blockchain yang lain dan bertukar data sesama sendiri. Contoh lain, guna teknologi Atomic Swap yang membenarkan pertukaran mata wang kripto tanpa perlu melalui orang ke-3.
Kelestarian dan Kecekapan Tenaga (Sustainability and Energy Efficiency)
Blockchain 3.0 dah tak guna konsensus Proof-of-Work (PoW) sebab PoW guna banyak tenaga untuk mining. Jadi Blockchain 3.0 nak bawa mesej Green Blockchain. Sebab tu banyak projek yang lahir dalam Blockchain 3.0 menggunakan konsensus Proof of Stake (PoS) dan Hybrid Model (gabungan PoW dan PoS).
Contoh projek yang tergolong dalam kategori Blockchain 3.0 adalah EOS, Cardano, Cosmos, Chainlink dan Polkadot.

BLOCKCHAIN 4.0 : Inovasi Berterusan
Blockchain 4.0 meneruskan kesinambungan generasi terdahulu dan cuba untuk membawa teknologi blockchain menjadi mainstream. Generasi blockchain terdahulu dah buktikan yang blockchain bermanfaat untuk kegunaan enterprise seperti penyimpanan rekod automatik, pembayaran bill, gaji dan invois. Tapi sudah semestinya pembangunan akan terus berlaku dan Blockchain 4.0 lebih fokus kepada kelajuan dan keselesaan pengguna (user-friendliness).
Jom kita tengok use case untuk Blockchain 4.0
- Web 3.0
Internet juga mengalami perubahan dari Web1.0 ke Web 2.0 dan yang terbaru Web 3.0. Platform Web 2.0 diuruskan oleh centralized entiti yang menguruskan data pengguna dan mewujudkan peraturan tertentu. Kemunculan Web 3.0 bermakna internet akan dikuasakan oleh teknologi baru seperti IoT, Blockchain dan AI. Tujuan utama Web 3.0 adalah untuk mencipta internet bersifat autonomuos, terbuka dan pintar. Jadi, blockchain adalah penting untuk pembangunan Web 3.0 kerana ia menekankan desentralisasi.
Walaupun ada Blockchain 3.0 yang direka untuk menyokong Web 3 tetapi dengan kebangkitan blockchain 4.0, kita bakal melihat kemunculan lebih banyak blockchain yang akan fokus kepada Web 3.0 yang akan menampilkan interoperability yang lebih baik, proses integrasi yang lebih lancar dan storan data P2P yang lebih privasi.
- Metaverse
Metaverse adalah pernah menjadi pet project untuk gergasi teknologi seperti Facebook, Nvidia, Microsoft dan lain-lain. Dengan metaverse, manusia akan berhubung ke dunia maya untuk melakukan aktiviti seperti bersosial, bermain game, bekerja dan membeli-belah.
Teknologi AI, IoT, AR & VR, cloud computing dan Blockchain digunakan untuk mencipta ruang realiti maya di Metaverse, di mana pengguna akan berinteraksi dengan persekitaran yang dijana komputer dan pengguna lain melalui pengalaman yang realistik.
Decentraland, Sandbox dan Axie Infinity adalah antara projek decentralized Metaverse.
- Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0)
Kita semua tahu bagaimana sesebuah perniagaan berfungsi, jadi kita cuba cari cara bagaimana ia boleh beradaptasi dalam persekitaran IR4.0. Smart factory, smart supply chain, tawaran perkhidmatan digital, inovasi model perniagaan digital dan ketelusan pengurusan pengguna adalah antara ciri-ciri organisasi IR4.0 dalam industri seperti penjagaan kesihatan, pembuatan, kewangan, logistik, pendidikan, mahupun kerajaan.
Kita boleh menganggap Blockchain 4.0 sebagai konsep yang memacu semua aktiviti pembangunan yang disasarkan untuk memastikan teknologi blockchain dapat diadaptasi dalam IR4.0. Menurut pakar di World Bank, Blockchain 4.0 adalah tunjang IR4.0 disebabkan teknologi ini mampu meminimumkan penyelewengan kerana ia menawarkan keterbukaan dalam operasi bisnes, proses kerajaan dan rangkaian bekalan.
Contoh projek yang tergolong dalam kategori Blockchain 4.0? Boleh tengok-tengok projek yang berkaitan AI, Metaverse, Web 3.0 atau projek-projek yang baru launch yang seangkatan dengannya.
KESIMPULAN
Sekarang boleh nampak kan macam mana blockchain berevolusi dan kenapa evolusi tu perlu berlaku. Boleh kata yang evolusi ni hampir pasti dapat membawa teknologi blockchain ni mencapai level mainstream. Kita recap apa yang kita dah bincang kat atas. Blockchain 1.0 hanya tertumpu kepada penghasilan mata wang kripto dan kelemahannya ialah tak laju dan cara nak guna user interface pun nampak complicated. Blockchain 2.0 muncul untuk mengatasi isu Blockchain 1.0 dan ia dibangunkan bukan sekadar untuk hasilkan cryptocurrency. Kemunculan blockchain seperti Ethereum, dibina untuk memudahkan pelbagai aktiviti dan aplikasi. Blockchain 3.0 pula muncul atas desakan untuk menambahbaik prestasi generasi sebelumnya. Sekarang kita sedang menyaksikan evolusi terbaru, Blockchain 4.0 yang menjadikan teknologi ini lebih dekat dengan kehidupan seharian kita.
– Tamat-
Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan perkongsian maklumat. Ia tidak bertujuan untuk digunakan sebagai nasihat pelaburan, perdagangan dan kewangan
Sumber:
https://chaum.com/wp-content/uploads/2022/02/techrep.pdf
https://en.wikipedia.org/wiki/Satoshi_Nakamoto
https://learn.bybit.com/glossary/definition-blockchain-3.0
https://webisoft.com/articles/blockchain-4-0
https://originstamp.com/blog/blockchain-1-vs-2-vs-3-whats-the-difference
