Selamat kembali ke artikel ketiga saya di MyCryptoversity.
Sebelum kita pergi lebih jauh, satu perkara penting yang perlu dipegang: Analisis ini tidak dibina atas emosi, andaian, atau rasa takut semata-mata. Kita tidak akan menyentuh sentimen seperti “Bitcoin nak naik sebab ramai orang rasa bullish.”
Sebaliknya, kita akan bedah data sejarah, corak pasaran (market pattern), dan sejarah tingkah laku pelabur yang pernah berlaku dalam kitaran kewangan sebelum ini.
Berikut ialah 6 sebab utama mengapa pasaran saham AS (US Market) berisiko mengalami kejatuhan besar menjelang 2027:
1. AI CapEx: Pelaburan Gergasi, Pulangan Masih Tanda Tanya.
Sejak ledakan Artificial Intelligence (AI), syarikat teknologi gergasi seperti Microsoft, Amazon, Meta, dan Alphabet membelanjakan ratusan bilion dolar untuk membina data center, membeli cip berkuasa tinggi, serta memperkukuh infrastruktur AI mereka. Perbelanjaan modal ini dipanggil Capital Expenditure (CapEx).
CapEx yang tinggi bukanlah perkara negatif. Ia menandakan syarikat sedang melabur untuk masa depan. Namun, soalan paling mahal yang sedang difikirkan oleh Wall Street hari ini ialah:
“Adakah keuntungan AI nanti cukup besar untuk menampung pelaburan gergasi ini?”
💡 Analogi Mudah:
Ibarat anda membuka restoran mewah bernilai RM100,000, tetapi selepas beberapa bulan beroperasi, restoran itu hanya membawa masuk keuntungan tambahan sebanyak RM15,000. Adakah pelaburan itu berbaloi?
Jika pertumbuhan hasil tidak dapat memenuhi jangkaan tinggi para pelabur, pasaran akan melakukan valuation reset (penyelarasan semula harga saham ke paras sebenar) walaupun teknologi AI itu sendiri sangat bagus.
Sejarah Berulang: Dot-Com Bubble (2000)
Semasa krisis Dot-Com, syarikat teknologi berlumba-lumba membina infrastruktur internet, fiber optic, dan pelayan (server). Semua orang yakin bahawa Internet bakal mengubah dunia. Mereka betul—Internet sememangnya mengubah dunia. Namun, harga saham tetap jatuh merudum kerana jangkaan pelabur (expectation) terlalu tinggi berbanding realiti perniagaan semasa.
2. Magnificent 7: Adakah Pasaran Saham Benar-Benar Sihat?
Istilah Magnificent 7 merujuk kepada 7 syarikat gergasi teknologi yang menguasai pasaran:
- Apple
- Microsoft
- NVIDIA
- Amazon
- Meta
- Alphabet
- Tesla
Disebabkan saiz pasaran (market cap) mereka yang terlalu besar, pergerakan 7 syarikat ini memberi dorongan dominan kepada indeks utama seperti S&P 500. Kesannya, S&P 500 boleh nampak melonjak tinggi ke paras rekor baharu, sedangkan beratus-ratus syarikat lain di dalamnya sebenarnya sedang merosot.
💡 Analogi Mudah:
Bayangkan sebuah lori berat yang sedang ditarik oleh 100 orang. Realitinya, hanya 7 orang berbadan sasa di hadapan yang bersungguh-sungguh menarik lori itu, manakala 93 orang lagi di belakang sekadar berjalan kaki tanpa mengeluarkannya tenaga. Lori itu memang nampak bergerak, tetapi jika 7 orang sasa itu penat dan berhenti, lori itu akan terus terhenti.
Kesimpulan: Apabila struktur kenaikan pasaran hanya digalas oleh segelintir syarikat gergasi, ia adalah petanda awal bahawa pasaran saham sebenarnya rapuh.
3. Isyarat Awal dari Korea Selatan (KOSPI vs S&P 500)
Jika kita abaikan teori dan fokus pada chart, ada satu corak menarik yang pernah berlaku.
Ekonomi Korea Selatan sangat bergantung kepada eksport teknologi dan semikonduktor. Oleh itu, pasaran saham Korea (KOSPI) kerap memberi isyarat awal sebelum pasaran AS (S&P 500) bertindak balas.
Semasa kejatuhan gelembung teknologi tahun 2000:
27 Disember 1999: Indeks KOSPI mula jatuh mendadak sehingga 54%.

538 hari kemudian (kira-kira 7–8 bulan): Barulah indeks S&P 500 mengikut jejak langkah KOSPI dan mengalami kejatuhan besar.

Line merah bermaksud Tarikh Kopsi Composite index jatuh.
Line biru bermaksud Tarikh S&P 500 react selepas 7-8 bulan (238 hari).
Disini, kita Nampak market korea lebih react lebih awal berbanding US market.
Bagaimana Pula Kitaran Terkini?

Pada tahun 2026, Jika kita perhatikan corak pergerakan indeks KOSPI yang mengalami kenaikan parabolic dan kemudian mula menunjukkan kejatuhan tajam.

Corak masa lalu memberi bayangan bahawa pasaran AS mungkin akan bertahan secara sideway terlebih dahulu sebelum berdepan risiko penurunan drastik memasuki awal tahun 2027 (sekitar Februari 2027).
4. SOX Index: Thermometer Sektor Semikonduktor
Philadelphia Semiconductor Sector Index (SOX) mengukur prestasi 30 syarikat semikonduktor terbesar dunia termasuk Nvidia, AMD, Broadcom, TSMC, dan Intel. Cip semikonduktor ialah “nadi” kepada semua teknologi moden, daripada telefon pintar hinggalah kepada pelayan AI.

Tahun 2000: Indeks SOX melonjak secara parabolic melepasi garisan Exponential Moving Average (EMA 20), sebelum akhirnya memecah ke bawah garisan sokongan jangka panjang (EMA 200) apabila krisis bermula.
Bagaimana Pula Kitaran Terkini?

Pada tahun 2026 terdapat Tanda amaran: Apabila indeks SOX melonjak terlalu pantas secara parabolic melangkaui julat kebiasaan, sejarah menunjukkan pasaran berada di fasa tepu dan berisiko tinggi untuk membuat pembetulan (correction) yang dalam pada masa akan datang.
5. Quantitative Easing (QE) & Liquidity: “Bahan Bakar” Pasaran
Untuk memahami pergerakan pasaran, kita perlu faham dua terma kewangan ini:
- QE (Quantitative Easing): Federal Reserve (Fed) “mencetak/mencuri suntikan duit” ke dalam sistem kewangan untuk merangsang ekonomi. Liquidity bertambah, Kadar faedah turun, Harga saham & Bitcoin melonjak naik.
- QT (Quantitative Tightening): Fed mengetatkan penawaran wang dan menarik liquidity keluar dari pasaran.
Berdasarkan garis masa sejarah pelonggaran dan pengetatan kualitatif Fed:
Apabila Fed mengumumkan fasa QT Tamat (QT End), pasaran selalunya tidak terus melonjak serta-merta. Sebaliknya, pasaran akan mengalami penurunan atau krisis terlebih dahulu (seperti insiden pandemik selepas QT1 tamat pada 2019), sebelum kerajaan AS bertindak melancarkan QE Baharu untuk menyelamatkan keadaan.

Ini menguatkan kebarangkalian bahawa pasaran berkemungkinan berdepan fasa penurunan pada 2027 sebelum suntikan kecairan (QE) baharu diumumkan semula.
6. Lambaian Isyarat dari Michael Burry
Ramai yang mengenali Michael Burry menerusi filem The Big Short (2015)—tokoh yang berjaya meramal krisis perumahan subprime AS 2008.
Satu perkara unik tentang strategi Michael Burry: Beliau kerap mengambil posisi bertentangan (short) jauh lebih awal daripada pasaran.
- 19 Mei 2005: Burry mula membeli Credit Default Swaps (CDS) untuk short pasaran perumahan.
- 15 September 2008 (3 tahun kemudian): Lehman Brothers muflis dan krisis global meletup sepenuhnya.

Beliau sanggup membayar kos premium option dan menunggu tempoh 1 hingga 3 tahun sebelum jangkaannya menjadi kenyataan.
Pada 30 September 2025, Pemfailan borang 13F SEC mendedahkan firma beliau (Scion Asset Management) telah membeli PUT Options bernilai ratusan juta dolar terhadap syarikat AI utama seperti Nvidia dan Palantir. Ini merupakan satu lagi signal bahawa pelabur berprofil tinggi sedang bersiap sedia menghadapi krisis AI/saham AS dalam tempoh jangka sederhana.
PERSOALAN UTAMA: Pada 2027, Adakah Bitcoin Bakal Jatuh Atau Kekal Kukuh?
Jika pasaran AS (US Market) benar-benar lumpuh pada tahun 2027, apa yang akan berlaku kepada Bitcoin? Kita boleh lihat dari dua sudut:
1. Sudut Data Sejarah & Fakta
Sukar diramal secara tepat berasaskan corak lama. Bitcoin baru diasaskan pada tahun 2009, manakala krisis gelembung AI/Dot-Com berlaku pada tahun 1999–2000. Tiada data sejarah langsung yang merekodkan bagaimana Bitcoin bertindak balas dalam krisis gelembung teknologi berskala sedemikian.
2. Sudut Pengurusan Risiko & Senario Pasaran
Secara kitaran kewangan, jika pasaran saham merosot, liquidity global akan menguncup terlebih dahulu dan menjejas aset berisiko (risk-on assets). Kitaran yang mungkin berlaku:
- Bitcoin berpotensi membuat penurunan drastik atau fasa pembetulan terlebih dahulu mengikut penurunan pasaran saham.
- Walau bagaimanapun, apabila Fed terpaksa campur tangan dengan mencetak duit semula (QE), Bitcoin berpotensi menjadi aset utama yang memantul (rebound) paling pantas berbanding pasaran tradisional.
Langkah Bijak Yang Boleh Dipertimbangkan Para Pelabur seperti Kita Semua.
- Semak Semula Pegangan Saham AS: Jika anda memegang posisi saham berisiko tinggi dalam pasaran AS, pertimbangkan untuk mengambil sebahagian keuntungan (take profit) dan menguruskan tunai dengan berhemah.
- Utamakan Bitcoin Berbanding Altcoin: Dominasi Bitcoin (BTC Dominance) selalunya lebih stabil ketika pasaran tidak menentu. Apabila Bitcoin mengalami penurunan kecil, pasaran Altcoin secara sejarahnya akan mengalami kejatuhan yang jauh lebih dalam.
⚠️ Penafian (Disclaimer)
Artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan dan perkongsian maklumat semata-mata, bukannya nasihat pelaburan atau kewangan. Sila lakukan kajian anda sendiri (DYOR – Do Your Own Research) sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pasaran kripto dan saham adalah sangat berisiko dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor makroekonomi global.
