Kalau korang perasan, dalam tahun 2025 ni, Cikgu Mayee banyak menulis pasal makroekonomi. Contohnya pasal Federal Reserve, ulas tentang data-data makroekonomi (CPI, PPI, PCE, FOMC etc), pasal President Trump langgar market dan macam-macam lagi. Kenapa dulu Cikgu Mayee tak sentuh dan tak ajar benda-benda ni, walaupun pengetahuan dan pengalaman beliau sangat luas? Pendapat saya, Cikgu Mayee akan beritahu dan ajar bila tiba masanya. Bukan sebab…”sebab boleh dik”. Ok gurau, jangan sentap. Hahaha
Apa yang saya nak kongsikan kali ni adalah berdasarkan pembacaan saya berkenaan satu research report dari Binance. Tajuk asalnya ialah End of QT: Headwind to Tailwind. Saya kongsi sebab saya rasa isi kandungannya menarik untuk kita cuba faham tentang keadaan market dan kecairan (secara umum). Saya cuba ringkaskan sebaik mungkin. Disebabkan saya pun baru belajar benda-benda ni, kiranya ini nota saya la ya. Hehe.
Bila kita imbas balik sepanjang tahun 2025 ni, Fed dah buat 3 kali rate cut, iaitu pada September, Oktober dan Disember. Rate cut dibuat selepas mesyuarat FOMC. Ini timeline rate cut sepanjang tahun 2025.

Apa Itu QT dan QE?
QT dan QE ni apa benda sebenarnya? Saya pun bukan datang dari background ekonomi atau kewangan. So saya pun struggle nak fahamkan segala macam jargon ni. Jom kita cuba fahamkan konsep QT dan QE ni.
Quantative Tightening (QT):
Quantitative Tightening atau ringkasnya QT adalah dasar kewangan di mana bank pusat mengurangkan jumlah wang dalam sistem kewangan. Masa QT ni, bank pusat akan mula buat Balance Sheet Reduction.
Bila bank pusat kena buat QT?: QT dibuat bila bank pusat tengok ekonomi terlalu panas dan inflasi melambung tinggi.
Apa jadi masa QT?
– Bank pusat jual balik bon kerajaan atau aset kewangan yang diorg beli sebelum ni.
– Bank pusat stop beli bon baru dan biarkan bon yang dah dibeli, matang.
Kesan kepada likuiditi dan ekonomi?: Duit berkurangan dalam pasaran. Bank-bank kurang cash dan terpaksa naikkan faedah pinjaman. Orang ramai terpaksa berjimat dan kurang berbelanja. Inflasi ditekan turun kerana kurang wang beredar. Ekonomi akan mula sejuk.
Quantative Easing (QE)
QE ni berlawanan dengan QT. Quantitative Easing atau ringkasnya QE adalah dasar kewangan di mana bank pusat menambah jumlah wang dalam sistem kewangan. Masa QE ni, bank pusat akan mula buat Balance Sheet Expansion.
Bila bank pusat kena buat QE?: QE dibuat bila bank pusat tengok ekonomi bergerak perlahan. Orang ramai tak berbelanja dan company pun takut-takut nak buat investment. Ada juga kes QE terpaksa dibuat disebabkan krisis contohnya krisis kesihatan Covid-19 tahun 2020.
Apa jadi masa QE?
– Bank pusat shopping bon kerajaan dan aset-aset lain.
– Cetak duit cash baru.
– Bank dapat duit cash yang banyak dan boleh beri pinjam kat orang ramai dan bisnes.
Kesan kepada likuiditi dan ekonomi?: Duit mencurah masuk pasaran. Faedah pinjam rendah. Orang ramai boleh berbelanja. Ekonomi pun boleh jadi rancak balik.
Analogi Mudah
Bayangkan ekonomi seperti kolam air:
QE: Bank pusat tambah air → ikan (bisnes & pelabur) berenang bebas.
QT: Bank pusat kurangkan air → ikan berenang dalam air cetek.

Apa itu Pivot?
Sebelum kita pegi lebih mendalam, pivot ni apa ek? Pivot ni maksudnya berpusing. Dalam konteks ekonomi, pivot ni merujuk kepada tindakan bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) yang mengubah arah atau strategi dasar kewangan diorang.
Kenapa Fed buat pivot?
Fed kena buat perubahan berdasarkan data ekonomi semasa. Contohnya, jika inflasi sudah mula turun atau ekonomi menunjukkan tanda-tanda kemelesetan (recession), Fed mungkin akan melakukan pivot dengan menurunkan kadar faedah untuk merangsang semula ekonomi.
Kesan Kepada Pasaran?
Pivot dianggap sebagai isyarat penting bagi pelabur. Sebagai contoh, pivot ke arah penurunan kadar faedah biasanya disambut baik oleh pasaran kerana kos pinjaman jadi lebih murah. Bisnes boleh buat pinjaman untuk melabur. Orang ramai boleh buat loan beli rumah, kereta dan berbelanja. So ekonomi dalam negara jadi rancak.
Fed Terpaksa Buat “Forced Pivot”?
Kalau korang masih ingat dalam beberapa artikel Cikgu Mayee sebelum ni, beliau ada bagitau jika Fed terpaksa buat rate cut ketika data ekonomi tak berapa nak cun, itu bukan satu petanda yang baik. Rupanya Cikgu Mayee bukan cakap saja-saja ya. Dalam report dari Binance ni jugak ada menyatakan perkara ni.
Saya ambil beberapa point penting supaya kita dapat gambaran kasar apa sebenarnya yang berlaku. Kenapa Fed terpaksa buat “forced pivot”?
Bank Reserve Dah Semakin Menipis
Bank Reserve ni maksudnya simpanan tunai bank komersial yang disimpat kat Federal Reserve. Setakat awal November lepas, jumlah keseluruhan reserve bank adalah $2.83 trilion. Jumlah ni mewakili 11.5% daripada total bank asset.
Bank ni ada paras selamat untuk reserve iaitu 12-13%. Bila reserve kurang daripada “ample” threshold (12-13%), makanya kesihatan bank mula masuk zon bahaya. Bank kurang “buffer” untuk bayar transaksi harian. Risikonya ialah bank mungkin terpaksa pinjam dengan kadar lebih tinggi di repo market sebab reserve dah menipis.
Kesimpulannya, paras reserve bank dah jatuh bawah tahap selamat. Ini menandakan sistem kewangan sedang alami tekanan kecairan. Tapi bukan bermaksud bank muflis, cuma lebih kepada masalah “cash flow”.
Government Shutdown Buat TGA “Bengkak”
Pasal government shutdown ni Cikgu Mayee dah banyak ulas juga. Tahun ni kerajaan Amerika shutdown 43 hari (1 Oktober – 12 November). Jadi macam-macam la isu timbul. Tapi kali ni jom kita tengok macam mana government shutdown ni beri kesan kat TGA. TGA ni apa?
TGA ni nama penuhnya Treasury General Account. TGA ni bahasa senangnya ialah akaun bank kerajaan Amerika Syarikat. Akaun ni dipegang oleh Department of Treasury AS di Federal Reserve.
Duit apa yang masuk dalam akaun ni?
- Duit cukai yang orang ramai dan syarikat bayar.
- Duit dari jual bond atau sekuriti kerajaan.
- Bayaran-bayaran lain macam fee atau denda.
Duit apa yang keluar dari akaun ni?
- Gaji kakitangan kerajaan.
- Bayaran welfare, social security, pension.
- Bayar interest hutang kerajaan.
- Apa-apa sahaja yang berkaitan perbelanjaan harian kerajaan.
Kenapa orang ekonomi suka pantau TGA ni? Sebab setiap perubahan balance dia boleh affect likuiditi dalam pasaran kewangan AS.
- Kalau TGA naik (kerajaan kumpul duit), duit seperti “disimpan” dekat Fed, jadi kurang duit berlegar dalam bank-bank komersial → pasaran boleh jadi ketat sikit.
- Kalau TGA turun (kerajaan belanja), duit masuk balik ke pasaran → lebih banyak likuiditi, pasaran happy.
Apa impak pada TGA masa government shutdown 43 hari tu?
- Kerajaan tak boleh belanja macam biasa untuk benda-benda non-essential. Jadi duit keluar kurang, termasuk gaji ramai pekerja federal tak dibayar dan bayaran program tertentu pun terpaksa stop.
- Tapi duit masuk masih jalan. Cukai orang ramai dan syarikat tetap dikutip, jual Treasury securities (bond/bill) tetap berjalan sebab debt ceiling tak issue lagi masa tu.
- Hasilnya, balance TGA naik mendadak. Dari sekitar $300 bilion pada bulan Julai, naik sampai peak $1 trillion pada 30 Oktober 2025. Maknanya $700 bilion liquidity dah ditarik keluar dari pasaran.
Dalam kes shutdown 2025, TGA jadi macam “penyedut senyap” (shadow tightening) yang lebih kuat daripada QT. Bila shutdown tamat dan kerajaan mula belanja semula, TGA boleh jadi “slingshot liquidity”. Satu dana yang sangat besar dilepaskan ke pasaran dan boleh jadi pencetus rally kepada aset berisiko seperti saham dan crypto.
Data Ekonomi Yang Indah Khabar Dari Rupa
Ikut kata report dari Binance ni katanya ekonomi kat negara Uncle Sam ni tengah mencungap minta nafas. Sama, kan macam Cikgu Mayee selalu cerita kat kita. Tajuk berita nampak indah je, tapi realitinya rapuh.
Jom kita tengok sektor pekerjaan:
- Kadar pengangguran rasmi bulan September kekal 3.8% (nampak sihat).
- Laporan ADP pula tunjuk penurunan 32k pekerjaan sektor swasta – penurunan terbesar sejak Mei 2024.
- Terdapat jurang 0.5% antara data rasmi & ADP, kedua terbesar sejak 2010 → macam tak ngam, “apa yang nampak” dengan “apa yang berlaku”
Yang kelakar , sektor awam tambah 45k pekerjaan (mainly dalam bidang pendidikan & kesihatan). Ni kira nak tutup kecacatan la. Menutup hakikat yang sektor swasta sedang mengecut. Tambah dan wujudkan lebih banyak jawatan dalam kerajaan untuk tutup kelemahan sebenar pasaran pekerjaan.
Ada satu point lagi menarik dalam report tu tentang pasaran pekerjaan. Walaupun kadar pengangguran stabil (3.8%) dan labor force participation pun stable (62.3%), tapi ada kegusaran di sebalik angka tu. Penyertaan tenaga kerja belia (16-24 tahun) menurun sebanyak 1.5%. FYI had umur minimum kat US adalah 16 tahun. Adakah peluang pekerjaan untuk belia semakin sukar? Atau diorang sebenarnya tengah sambung study? Atau diorg lebih suka pilih untuk kerja dalam gig economy? Jadi deliveryman, content creater, jual produk kat online dll.
Tapi kenapa pulak nak kena concern lebih-lebih pasal diorang ni? Sebab ada implikasi jangka panjang. Bila terlalu ramai belia tak berada dalam sistem pekerjaan, itu mungkin tanda sektor swasta tradisional kurang menarik atau kurang peluang. Ini juga satu signal bahawa pertumbuhan ekonomi formal sedang perlahan. Kesan jangka panjang ialah pertumbuhan jangka panjang akan terjejas.
Hakikatnya, asas ekonomi sebenar (iaitu sektor pekerjaan swasta, hutang isi rumah, jurang kaya-miskin) dah mula goyah. Sebab tu Fed terpaksa pivot. Bukan semata-mata sebab tekanan pasaran kewangan, tapi kerana tanda-tanda ekonomi dalam sektor swasta sedang menuju ke arah recession senyap.

Kesan Kepada Pasaran Kripto
QT Tamat – Likuiditi Mengalir
Fed dah lancarkan QT sejak Jun 2022 dan berakhir 1 Disember lepas. Ramai yang percaya yang QT adalah antara sebab utama market crypto payah nak fly. Sebab market crypto dipaksa bergerak melawan arus. Bila Fed umum tamatkan QT, ramai pemerhati percaya yang tembok besar yang selama ni menjadi halangan utama liquidity dah tumbang. So, liquidity yang selama ni tersekat dah boleh mengalir semula. Tapi kita kena ingat walaupun tengah QT, Bitcoin sempat jugak cipta harga ATH awal Oktober lepas. Acanor tu?
TGA Release – Limpahan Liquidity
Tadi kita dah tahu bila government shutdown, tabung TGA terkumpul lebih $1 trilion. Jadi bila kerajaan beroperasi semula macam biasa, kerajaan akan mula berbelanja semula. Maksudnya dana yang terkumpul tu akan dilepaskan ke market semula. Kripto juga akan dapat tempias. Cumanya setakat ni belum ada kenyataan rasmi bahawa diorang akan “release” TGA secara besar-besaran.
QE-Lite dan Rate Cut
Lepas Fed umum diorang nak tamatkan QT start 1 Disember, diorang juga umumkan pembelian T-bills bermula 12 Disember. Fed akan mulakan pembelian sebanyak $40 bilion sebulan. Pembelin T-bills adalah langkah untuk rebuild bank reserves yang makin nazak. Masih ingat, kan? Tadi kita dah tau yang bank reserve dah melepasi paras kritikal, “ample” threshold. Jadi , Fed nak stabilkan kecairan tanpa perlu “full QE”. Sebab itu ianya dipanggil QE-Lite.
Masa Binance keluarkan report ni (report ni dikeluarkan pada bulan November), Fed masih belum umum rate cut. Bulan Disember Fed umum rate cut sebanyak 25 mata asas. Ada jangkaan yang Fed akan teruskan rate cut pada 2026. Kali ni potong 50 mata asas yang dijangka berlaku sekitar April-Jun 2026. Tapi ini semua jangkaan. Entah jadi atau tak, kita pun tak tahu.
Macam biasa, kripto sekarang ni dah sangat sensitif dengan isu kecairan. So pembelian T-bills dilihat sebagai signal bullish. Fed rate cut jadi benda yang ditunggu-tunggu. Cumanya untuk cycle kali ni, ada pelik sikit la. Cikgu Mayee pun dah bagitau benda ni kat dalam grup support, kat channel Telegram MyCryptoversity, kat FB page beliau. Nanti korang rajin-rajinlah revisit semua tulisan dan perkongsian Cikgu Mayee. Market kripto sekarang dah price in siap-siap sebelum event berlaku atau diumumkan.

Penutup
Kesimpulannya, takde apa yang saya nak simpulkan. Haha. Sebab ni adalah nota saya tentang apa yang saya faham berdasarkan pembacaan saya. Kalau korang nak tahu secara detail isi kandungan report Binance ni, korang boleh download kat link di bahagian sumber rujukan. Banyak gila terma-terma dan konsep ekonomi yang boleh kita belajar.
Nampaknya setakat ini perkongsian saya untuk tahun 2025. Terima kasih kerana sudi baca sampai habis. Sampai berjumpa lagi di tahun 2026. Insya-Allah…
– Tamat –
Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan perkongsian maklumat. Ia tidak bertujuan untuk digunakan sebagai nasihat pelaburan, perdagangan dan kewangan. Maklumat yang dikongsikan hanyalah pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak MyCryptoversity atau pemiliknya.

Sumber rujukan:
https://public.bnbstatic.com/static/files/research/the-end-of-qt-from-macro-headwind-to-tailwind.pdf
