Bitcoin Halving bukan satu perkara asing bagi komuniti cryptocurrency. Seluruh komuniti memang ternanti-nanti event yang berlaku 4 tahun sekali ni. Kepada para newbie, ini mungkin perkara baru. Masih cuba nak faham banyak benda baru pasal Bitcoin, Ethereum, Blockchain, Smart Contract, Consensus, Memecoin, Shitcoin dan macam-macam lagi la. Yang dah OG, mesti dah buat persediaan nak hadap Halving kali ni.
Ramai orang kata Halving kali ni lain macam sikit sebab kali ni pelabur institusi dan jerung Wall Street akan memeriahkan suasana. Bagus ke tak bagus? Agak-agak BTC boleh meroket sampai mana? Korang dah ready nak hadap Halving kali ni? Ada beli BTC tak? Atau korang memang penggemar tegar memecoin dan shitcoin? Biasa la..bila market nak mula bull ni, banyak memecoin dan shitcoin keluar. Banyak newbie terjebak sebab takde ilmu. Yang beragama Islam, beringat la tentang halal haram sebelum membeli-belah.
Tapi sebenarnya apa akan jadi pada BTC yang sedang kita hold? Sebelum tu, kita recap kejap apa itu Bitcoin Halving. At least newbie yang baru kenal kripto dapat gambaran pasal event halving ni. Bitcoin Halving atau “Halvening” ni adalah event yang berlaku 1 kali dalam 4 tahun. Kenapa ia berlaku setiap 4 tahun? Itu adalah program yang telah ditetapkan oleh Satoshi Nakamoto dalam whitepaper Bitcoin. Bila berlaku halving, maka akan berlaku perubahan yang besar dalam landskap kripto secara keseluruhan.
Kenapa event ni dipanggil halving? Sebab reward yang diterima miners (para pelombong BTC) akan berkurangan separuh. Kenapa perlu ada halving? Kerana ia merupakan satu mekanisme untuk kawal penghasilan BTC yang baru supaya tak terlebih supply sehingga menyebabkan inflasi. Sebenarnya dalam whitepaper Bitcoin pun, Satoshi Nakamoto dah nyatakan yang supply BTC adalah fixed atau terhad kepada 21 juta sahaja. Logiknya tak mungkin Satoshi Nakamoto nak lepaskan sekaligus semua supply 21 juta dalam pasaran. Kena lepaskan sikit demi sikit dengan cara melombong. Miners yang melombong akan diberi ganjaran dalam bentuk BTC.
Pada tahun 2009, miners terima rewards 50 BTC. Tahun 2012 setelah halving berlaku, miners terima 25 BTC. Lepas tu halving pada 2016, rewards berkurangan kepada 12.5 BTC. Halving tahun 2020, reward makin kurang ke 6.25 BTC. Begitu la seterusnya sehingga semua BTC habis dilombong pada tahun 2140.

Ok berbalik kepada persoalan apa akan terjadi kepada Bitcoin yang kita simpan selepas halving berlaku? Relax…Bitcoin yang kita ada dalam exchanger atau hot/cold wallet akan kekal di situ. Dengan syarat exchanger tu masih beroperasi. Frasa keselamatan hot/cold wallet kita pula WAJIB disimpan baik-baik. Halving event ni tak beri impak kepada bilangan BTC yang kita pegang. Kalau kita ada 10 biji BTC dalam wallet Safepal misalnya, ia kekal 10 biji. Jadi tak perlu bimbang. Halving bukan bermaksud 10 biji BTC yg kita simpan akan jadi 5 biji lepas halving.
Bagaimana Halving Mempengaruhi Bekalan dan Permintaan Terhadap Bitcoin?
Walau bagaimanapun, halving event akan memberi impak kepada pergerakan harga BTC dan pasaran cryptocurrency secara keseluruhan. Kenapa boleh jadi macam tu? Kita tahu yang halving akan menyebabkan supply BTC menjadi berkurangan sebab reward yang diterima oleh miners akan berkurangan 50%. Dalam prinsip asas ekonomi, bila supply kurang dan dalam masa yang sama permintaan masih kekal sama atau meningkat, nilai sesuatu barang atau aset akan meningkat. Maka tak hairanlah minat pelabur terhadap Bitcoin semakin melonjak dan timbul pelbagai spekulasi berkenaan pergerakan harga BTC.
Apa Akan Jadi Selepas Halving Terakhir Pada Tahun 2140?
Halving terakhir dijangka berlaku pada tahun 2140. Pada masa itu, kesemua 21 juta BTC telah habis dilombong. Sekarang para miners dapat rewards daripada hasil aktiviti perlombongan. Tapi setelah kesemua BTC habis dilombong adakah mereka masih dapat rewards? Ya masih ada reward, tetapi ianya datang daripada yuran transaksi sahaja.
Persediaan Menghadapi Halving Event
Strategi Untuk Pelabur
Buat analisa dan penyelidikan :
Dapatkan info tentang bila halving akan berlaku. Cuba tengok semula pergerakan harga ketika berlakunya halving yang lepas. Buat analisa tentang trend pasaran, sentimen pelaburan dan keadaan ekonomi global yang mungkin mempengaruhi harga BTC.
Mempelbagaikan portfolio :
Boleh pertimbangkan untuk pelbagaikan portfolio anda untuk mengurangkan risiko akibat pergerakan Bitcoin yang volatile (tak menentu). Walaupun halving event ni selalu dikaitkan dengan kenaikan harga BTC berdasarkan sejarah yang lepas, tetapi tiada jaminan ianya pasti berlaku. Paling baik adalah anda mempelbagaikan portfolio untuk melindungi pelaburan anda.
Bersedia Melabur Untuk Jangka Masa Panjang :
Kita semua tahu yang pergerakan harga BTC sangat volatile. Ibarat mengharungi ombak di tengah laut. Amat tak sesuai kalau anda nak melabur dalam Bitcoin dan mengharapkan pulangan dalam jangka masa yang pendek. Game Bitcoin ni macam kita lari marathon atau mungkin ultra-marathon. Tapi dah terbukti Bitcoin memberi pulangan lumayan untuk jangka masa panjang.
Pengurusan Risiko :
Sila set betul-betul matlamat pelaburan dan level risiko yang mampu anda tanggung. Sebab tu selalu kita dengar, jangan guna duit keperluan seperti duit beli beras, susu anak, bil api/air atau ansuran rumah untuk melabur (bukan hanya kripto, tetapi semua instrument pelaburan). Hanya guna duit yang kita sanggup rugi. Dan jangan gatal-gatal buat personal loan untuk melabur dalam kripto. Takde penyakit jangan cari penyakit.
Persedian Yang Perlu Dilakukan Oleh Para Pelombong
Kena Upgrade Mesin Baru :
Selepas Halving diorang kena upgrade hardware yang ada. Kenapa? Sebab hardware lama walaupun masih boleh guna, mungkin tak cukup efisien untuk terus melombong kerana tahap kesukaran melombong juga meningkat. Jadi diorang terpaksa tukar hardware baru yang lagi efisien untuk diorang kekal dalam persaingan untuk dapatkan reward yang dah makin sikit.
Buat Analisa Kos :
Para miners ni akan buat kira-kira untuk kos operasi yang baru, termasuk penggunaan elektrik dan penyelenggaraan. Reward dah makin kurang, so suka atau tak diorang kena cari jalan untuk kurangkan kos operasi supaya maintain profit.
Buat Perancangan Yang Strategik :
Para miners perlu buat perancangan rapi untuk kekal kompetitif pada masa akan datang. Perkara yang biasa diorang buat ialah diorang hold je BTC yang diorang lombong. Tunggu harga naik, diorang akan jual.
Persepsi Salah Tentang Halving
Harga BTC Terus Melonjak Selepas Halving :
Ramai yang expect harga BTC akan terus meroket selepas halving. Halving hari ni, esok BTC terus to-the-moon. Kita kena tengok semula sejarah kenaikan harga BTC selepas berlakunya halving. Memang betul biasanya harga BTC akan naik lepas halving, tapi bukan berlaku immediately. Perlu tengok juga banyak faktor semasa yang mempengaruhi pergerakan harga BTC.
Banyak Miners Cabut Lari dan Tak Nak Teruskan Mining :
Ada yang fikir bila rewards untuk miners makin sikit, banyak miners yang akan cabut lari. Ya la buat apa susahkan diri nak mining kalau reward sikit kan? Tapi realitinya miners tak cabut lari pun. Diorang akan upgrade fasiliti diorang supaya dapat kekal berdaya saing.
Yuran Transaksi Meningkat :
Ada yang anggap bila block reward berkurangan, maka yuran transaksi akan naik. Sebenarnya tak. Yuran transaksi naik atau turun tu bergantung kepada demand (permintaan) dalam network. Kita bayangkan network tu macam lebuhraya. Bila hari raya, banyak kereta sampai traffic sesak. Yuran transaksi tu kita boleh anggap dia sebagai bayaran tol. Bila jalan sesak, harga tol akan naik. So halving tu bukan la punca utama yuran transaksi meningkat. Cuma kebetulannya, ramai orang masuk market bila time halving sebab orang expect market dah start bullish.
Confirm Harga BTC Melompat :
Kita tahu halving tu dicipta untuk mengurangkan kadar inflasi Bitcoin dan mengawal bilangan BTC dalam edaran dalam satu-satu masa. Kita perlu ingat yang tiada yang pasti dalam pasaran. Banyak faktor luaran yang mempengaruhi nilai BTC termasuk perubahan undang-undang, sentimen pasaran dan pembangunan teknologi.
KESIMPULAN
Sekarang kita semua faham yang Bitcoin Halving bukan sekadar pelarasan teknikal. Ia merupakan fundamental event dalam ekosistem mata wang kripto secara keseluruhan. Halving event membentuk naratif dan trajektori masa hadapan untuk Bitcoin. Biasanya setiap kali halving, topik yang selalu dibincangkan akan berkisar tentang nilai intrinsik Bitcoin, peranannya dalam landskap kewangan yang lebih luas dan potensinya sebagai kuasa transformatif dalam dunia kewangan digital. Paling penting korang tak perlu risau sebab BTC yang korang simpan, kuantitinya masih sama. Cuma nilainya pasti berbeza
.
Tak sabar nak tunggu halving kan? Boleh check halving countdown kat page
Binance Bitcoin Halving,
Coingecko
dan lain-lain website. Korang Google je, mesti jumpa.
– Tamat-
Penafian: Artikel ini disediakan untuk tujuan perkongsian maklumat. Ia tidak bertujuan untuk digunakan sebagai nasihat pelaburan, perdagangan dan kewangan
Sumber:
https://academy.binance.me/en/articles/bitcoin-halving-date-what-happens-to-your-bitcoin-after-the-halving
https://www.blockpit.io/blog/bitcoin-halving







2 comments
Alhamdulillah faham. Trima kasih atas perkongsian.
Alhamdulillah
Comments are closed.